Rosmah Mansur Kini Diiktiraf Puan Puti Reno, Puteri Suku Minangkabau
Di Indonesia, first lady Malaysia iaitu Rosmah Mansor diangkat dan diberi pengiktirafan oleh suku Minangkabau.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendapat pengiktirafan MINANGKABAU apabila beliau dianugerah darjah tertinggi wanita suku itu iaitu 'Darjah Kebesaran Kerabat Yang DiPertuan Gadih Minang' yang membawa gelaran Puan Puti Reno.
Puan Puti Reno adalah pengiktirafan tertinggi bagi puteri Minangkabau.
Penganugerahan yang berlangsung di Istana Adityawarman itu dilakukan dengan penuh istiadat Minangkabau yang dihadiri pewaris kerabat Minangkabau termasuk Raja Alam Pagaruyung Sutan Mohamad Taufik.
Sebagai simbolik penganugerahan, Rosmah dipakaikan selendang seorang daripada pewaris wanita Istana Pagaruyung dan bagi kesesuaian majlis Rosmah turut berpakaian Minangkabau, lengkap dengan tengkuluk yang biasanya dipakai oleh kerabat diraja zaman silam.
Ketika ditemui pemberita selepas acara itu, Rosmah berkata beliau amat terharu dan gembira dengan penerimaan serta anugerah yang diberikan apatah lagi ia bagaikan pulang ke kampung halaman kerana ibu bapanya berketurunan Minangkabau.
Ibu bapa Rosmah berasal dari Sari Lama yang terletak di salah satu daerah di Sumatera Barat.
Ini kata Rosmah Mansor:
"Saya berasa gembira kerana diterima dan diberi gelaran sebagai salah seorang keluarga diraja di Pagaruyung. Saya juga terharu kerana walaupun saya tidak pernah datang ke tanah Minangkabau, saya dapat menjiwai bahawa inilah tempat asal nenek moyang saya.
Anugerah itu sememangnya satu sejarah kerana Rosmah adalah satu-satunya wanita dari negara luar yang menerima darjah sedemikian.
Terdahulu, wakil Lembaga Adat Minangkabau Padang berkata, anugerah itu dikurniakan kepada Rosmah kerana kebaikan dan kesungguhan beliau memartabatkan budaya Minangkabau di Malaysia. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment